Tuesday, August 2, 2016

PDRM Harus bertindak

KENYATAAN MEDIA WIRA PERKASA MALAYSIA

02 OGOS 2016 | 28 SYAWAL 1437H

1. Merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysiakini yang bertarikh 02 Ogos 2016, berkenaan penutupan kes iaitu laporan polis yang dibuat oleh Khairul Azwan Harun pada minggu lepas. Wira Perkasa Malaysia ingin mempertikaikan keputusan yang dikeluarkan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia. Menurut dakwaan dalam kenyataan tersebut, penutupan kes ini berdasarkan ia hanya andaian yang dibuat oleh Khairul Azwan Harun.

2. Saya amat terkejut dengan ulasan yang diberi oleh Tan Sri Khalid Abu Bakar, Ketua Polis Negara. Mengapa begitu mudah kes ini ditutup? Menurut dakwaan Khairul Azwan pada kenyataan lepas dia mendakwa terdapat satu penyaluran maklumat ke agensi luar termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI). Tambahan lagi ada beberapa dokumen dipalsukan demi kepentingan individu yang terlibat. Setiap laporan polis dibuat perlu disertakan dengan alasan yang kukuh serta bukti.

3. Tindakan Khairul Azwan Harun ini telah mengaibkan nama baik ketiga-tiga individu yang terbabit dan mereka adalah Tan Sri Abu Kasim Mohamed bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz bekas Gabenor Bank Negara dan Tan Sri Abdul Ghani Patail bekas Ketua Hakim Negara. Mereka adalah bekas kakitangan tinggi kerajaan yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara. Dimanakah relevan tindakan dia ini? 

4. Pada minggu lepas Wira Perkasa Malaysia juga telah membuat 3 laporan Polis mengenai dakwaan yang dibuat oleh Khairul Azwan Harun. Dakwaan yang dibuat amat serius kerana ia melibatkan keselamatan dan imej pegawai tinggi kerajaan. Pada mulanya dia mendakwa bahawa laporan polis ini dibuat atas pendirian pemuda Umno, namun selepas beberapa hari laporan dibuat ketua pemuda Umno sendiri tidak menyokong tindakan Khairul Azwan Harun ini. Jelas tindakan dia telah menimbulkan tanda tanya dan dia telah memalukan semua pihak. Saya percaya bahawa andaian yang dibuat oleh Khairul Azwan Harun adalah satu perkara yang tidak baik.

5. Justeru, dalam hal ini Wira Perkasa Malaysia mendesak Ketua Polis Negara untuk menyiasat dan membuka kertas siasatan apakah motif sebenar laporan itu dibuat. Adakah mudah benar kita membuat andaian dan akhirnya ia telah memberi persepsi buruk kepada rakyat terhadap kredibiliti ketiga-tiga individu yang terlibat kerana jasa mereka pada negara amatlah besar. 

6. Wira Perkasa Malaysia juga mendesak Khairul Azwan Harun untuk membuat pemohonan maaf secara terbuka kepada ketiga-tiga individu ini kerana reputasi mereka sebagai pegawai tinggi kerajaan tejejas. Jika dia didakwa di mahkamah dan tidak mampu untuk mengambil khidmat guaman, Wira Perkasa boleh membantu untuk mengutip derma bagi membayar khidmat guaman untuk dirinya.

Sekian,

Irwan Fahmi Ideris
Ketua Wira Perkasa Malaysia

02 Ogos 2016 @ 05.00 petang