BANK, SYARIKAT GLC SEKTOR UTILITI DAN PERKHIDMATAN JANGAN HANYA KIRA KEUNTUNGAN, RAKYAT MAKIN TERTEKAN.


KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN KEBAJIKAN KOMUNITI PRIHATIN MALAYSIA (PRIHATIN) PPM-002-10-18072020

28 JUN 2021

1. Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (PRIHATIN) menggesa kepada semua bank, Syarikat GLC sektor utiliti dan perkhidmatan agar tidak hanya mengira keuntungan syarikat dan organisasi mereka sahaja semasa pandemik ini. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dilaksanakan rakyat dilihat semakin terbeban dan tertekan akibat kesan pandemik yang melanda.

2. Seramai lebih 90 ribu orang telah kehilangan kerja sehingga hujung tahun 2020. Saya percaya angka ini telah melepasi 100 ribu orang sehingga tahun ini. Pastinya mereka akan mencari jalan keluar demi memastikan kelansungan hidup dapat diteruskan. Apa sahaja kerja ataupun cara akan dilakukan bagi memastikan keluarga mereka dapat meneruskan kehidupan. Faktor utama tekanan yang dihadapi oleh rakyat khususnya golongan B40 adalah bebanan hutang. 

3. Mereka telah kehilangan kerja, ditambah dengan beban hutang. Saya ingin bertanya kepada Syarikat GLC sektor utiliti dan perkhidmatan khususnya, apakah mereka peka dengan keadaan semasa? Syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatat keuntungan bersih RM3.6 bilion pada tahun 2020, Telekom Malaysia TM pula mencatat keuntungan sebanyak 1 bilion pada tahun 2020. Manakala Malayan Banking Berhad (MAYBANK) mencatat keuntungan sebanyak 6.5 bilion pada tahun 2020 dan CIMB bank mencatat keuntungan sebanyak 1.2 bilion pada tahun yang sama. (Sumber: Malaysia Stock Biz)

4. Konsep peniagaan adalah memastikan keuntungan dapat dicapai, namun dalam keadaan yang berlaku sekarang adakah keuntungan Syarikat GLC ini dapat memberi manfaat semula kepada rakyat? Saya sarankan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar dapat mengkaji semula tarif harga bekalan tenaga elektrik domestik. Selain dari diskaun bil elektrik usaha ini sekurang-kurangnya dapat membantu lebih ramai rakyat dalam situasi sekarang.

5. Saya tidak menolak cadangan kerajaan kepada pihak bank iaitu dengan memberi moratorium kepada mereka yang terjejas. Begitu juga dengan pengeluaran wang simpanan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Namun usaha ini tidak cukup membantu. Wang simpanan hari tua telah habis, namun hutang bank tetap perlu dibayar sehingga selesai. Moratorium hanya membeli masa sahaja, masa dipanjangkan namun hutang bank tidak berubah sedikit pun. Pihak bank boleh kaji semula kadar faedah pinjaman yang dikenakan kepada pelanggan. Perkhidmatan bank dan TNB diperlukan oleh rakyat dalam menjalani kehidupan seharian. Jadi dalam hal ini mereka tidak rugi sama sekali kerana perkhidmatan mereka sememangnya menjadi keperluan rakyat.

6. Sebelum ini saya pernah mencadangkan kepada pihak kerajaan agar kadar bayaran pengajian di Institut Pengjian Awam dan Swasta perlu dikaji semula. Ini juga dapat membantu meringankan sedikit bebanan kepada rakyat. Selain itu saya juga mencadangkan agar cukai dikenakan kepada warga asing yang bekerja di Malaysia. Cukai ini dapat membantu bagi meningkatkan ekonomi negara. Rakyat semakin terbeban, semakin hari makin ramai yang ambil jalan singkat dengan cara membunuh diri. Masalah ini tidak akan selesai sekiranya semua pihak yang saya sebutkan tidak memainkan peranan semasa kemelut pandemik ini masih berterusan.

Sekian,
Irwan Fahmi Ideris

PRESIDEN
Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (PRIHATIN) PPM-002-10-1802020

Comments

Popular posts from this blog

Doa Nasiri

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA

kesan apabila kerajaan menarik balik kes rayuan isu kalimah ALLAH