JANGAN GADAI ASET NEGARA: PERKASA BANTAH PENJUALAN ASET STRATEGIK NEGARA SECARA BERTERUSAN

 KENYATAAN MEDIA

PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA (PERKASA)


4 Jun 2025

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menzahirkan kebimbangan yang amat serius terhadap tindakan berterusan pihak kerajaan menjual aset-aset strategik negara kepada pihak asing dan pelabur luar, yang semakin membimbangkan serta mencetuskan keresahan rakyat.

Terkini, kami merujuk kepada laporan mengenai cadangan pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) oleh konsortium yang melibatkan entiti asing termasuk GIC dari Singapura dan Global Infrastructure Partners (GIP), yang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan firma luar negara termasuk BlackRock.

Apakah mesej yang sedang dihantar oleh kerajaan apabila sebuah aset kritikal seperti MAHB – yang mengurus lebih 30 lapangan terbang di Malaysia – diserahkan ke tangan pemilik luar negara?

Sebelum ini, kita telah menyaksikan:

Penjualan Proton Holdings Berhad kepada Geely (China);

Pegangan IHH Healthcare Berhad dijual kepada Mitsui (Jepun);

Tanah strategik seperti Bandar Malaysia dan TRX dibuka kepada pelabur asing.

Kini, sektor keselamatan penerbangan dan pengurusan pintu masuk negara pula berisiko berada di bawah kawalan asing. Ini bukan sahaja isu ekonomi, tetapi menyentuh aspek kedaulatan dan keselamatan negara.

PERKASA melihat tindakan ini sebagai bentuk penggadaian kedaulatan ekonomi dan strategik negara yang tidak boleh dimaafkan. Aset seperti MAHB bukan sekadar pelaburan – ia merupakan struktur asas negara yang mengawal mobiliti, perdagangan, dan sekuriti nasional.

PERKASA dengan ini menuntut kerajaan agar:

1. Menghentikan serta-merta sebarang proses penjualan atau pengambilalihan melibatkan Malaysia Airports dan aset strategik lain;

2. Mendedahkan sepenuhnya butiran perjanjian kepada rakyat untuk semakan awam;

3. Menggubal akta khas bagi melindungi aset strategik negara daripada pemilikan asing;

4. Mengutamakan pemilikan rakyat Malaysia, terutamanya Bumiputera, dalam mana-mana pelaburan jangka panjang yang melibatkan infrastruktur kritikal.

Sekiranya kerajaan gagal bertindak, PERKASA tidak akan teragak-agak untuk menggerakkan kebangkitan rakyat secara besar-besaran melalui saluran demokrasi yang sah, demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

Malaysia bukan untuk dijual. Aset negara adalah amanah rakyat!!!!

Sekian.

Irwan Fahmi Ideris 

Ketua Penerangan

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA)

4 Jun 2025

Comments

Popular posts from this blog

APAKAH MENTERI DARIPADA DAP INI BODOH ATAU KRANG HAJAR???

KHIANAT PADA JANJI SENDIRI