Haramkan juga peniaga-peniaga kedai rokok, mereka juga menjual nicotine

Kenyataan Wira Perkasa Malaysia
23 Muharam 1437H | 5 November 2015   

Wira Perkasa Malaysia hari ini ingin mempersoalkan tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan Datuk S. Subramaniam yang ingin membanteras penjualan cecair nikotin tanpa lesen yang digunakan untuk e-rokok. Merujuk kenyataannya melalui portal Malaysiakini, jika didapati tidak mempunyai lesen untuk menjual, pihaknya akan merampas e-rokok yang mengandungi cecair nikotin.

Perkara ini sebenarnya telah dibangkitkan oleh Kementerian Kesihatan sejak tahun 2013. Namun hingga kini masih tidak mempunyai ketetapan  dari segi perlaksanaan penguatkuasaan mengikut Akta Racun 1952. Soalnya mengapa sekarang? Setelah beberapa tahun penjualan nikotin didalam e-rokok, baru sekarang mereka mahu mengambil tindakan. Apa sebenarnya yang mereka mahukan? Selepas penjualan e-rokok meningkat dan memberi hasil yang lumayan kepada peniaga barulah mereka mencari pelbagai kaedah untuk membanteras penjualan e-rokok. Penjualan rokok tembakau tidak disyaratkan dengan lesen yang ditetapkan. Sesiapa juga boleh menjual rokok tembakau ini. Jelas ia memang tidak dibekalkan lesen khas bagi penjualan rokok tembakau dipasaran.  Nampaknya mereka masih tetap mengganggu pihak yang membantu dalam kempen berhenti merokok yang dianjurkan oleh mereka.

Sekiranya penjualan nikotin dibuat tanpa lesen sekalipun untuk e-rokok, apakah kesan yang teruk akan berlaku pada pengguna e-rokok ini? Saya difahamkan penggunaan nikotin dalam kandungan e-rokok adalah terkawal. Tidak boleh digunakan sebarangan tanpa garis panduan ditetapkan. Pembekal e-rokok pun bukan mudah untuk mendapatkan nikotin di pasaran. Setakat ini kita belum pernah mendengar kes yang melibatkan penggunaan nikotin yang tidak terkawal. Jadi apa masalah yang dihadapi sebenarnya? Apa pula kata mereka tentang penjualan nikotin didalam rokok tembakau?

Saya juga ingin menyangkal kenyataan yang dibuat oleh YBhg Dr. Lokman Hakim b Sulaiman yang menyatakan e-rokok dan vape adalah benda yang berbeza. E-rokok dan vape sebenarnya adalah benda  yang sama. Kemunculan generasi awal selepas kemodenan rokok tembakau adalah e-rokok. Selepas e-rokok diperkenalkan sekitar tahun 2009, maka bermulalah kemunculan generasi e-rokok seterusnya hingga kini. Selepas 5 generasi barulah e-rokok diperkenalkan dengan gelaran vape. Komponen dan proses terhadap kedua-dua benda ini adalah sama. Pengunaan cecair nikotin terhadap e-rokok dan vape sebenarnya boleh dikawal peratusannya hingga bebas nikotin. Jadi tidak timbul isu beza e-rokok dan vape dan bahaya nikotin dalam e-rokok dan vape.

Saya menggesa kepada Kementerian Kesihatan agar mengeluarkan garis panduan yang lengkap bagi pembekal dan pengguna e-rokok. Jika perlu gunakan peruntukan undang-undang yang melibatkan akta yang sedia ada mohon ia diperjelaskan kepada semua pihak agar tidak timbul lagi kekeliruan. Jika dibandingkan bahaya antara rokok tembakau dan e-rokok saya melihat lebih bahaya kesan rokok tembakau kepada masyarakat umum dan sekiranya e-rokok memberi kesan yang bahaya kepada masyarakat mohon jelaskan dengan fakta yang jelas dan tepat seperti yang dibuat kepada rokok tembakau. Kalau nak mencegah , seharusnya mereka telah lama bertindak, bukan sekarang. Kalau nak lakukan juga tolong lakukan perkara yang sama terhadap rokok tembakau. Barulah adil dan saksama.

Wira Perkasa Malaysia amat berharap Kementerian Kesihatan buat kajian secara menyeluruh tentang kesan e-rokok kepada masyarakat umum. Perjelaskan garis panduan yang tepat dan lengkap bagi pembekal dan pengguna e-rokok ini. Jangan mudah menghukum sesuatu perkara tanpa fakta yang kukuh.

Sekian
Irwan Fahmi Ideris
Ketua Wira Perkasa Malaysia

Comments

Popular posts from this blog

Kali ini sudah pasti kami tidak akan tertipu lagi.

Sudah Cukup segalanya digadai, Hj Najib Wajar Meletakkan Jawatan

PDRM Harus bertindak