SEPAKAT MEMBAWA BERKAT

Assalamualaikum w.t.h

1. Muthakhir ini kita di dengarkan dengan kenyataan dan ulasan dari 2 tokoh politik ternama Parti Keadilan Rakyat, iaitu Yang Berhormat Datuk Seri Azmin Ali dan Sdr Rafizi Ramli. Kedua tokoh ini amat disegani dikalangan pemimpin parti dan rakyat.

2. Namun terdapat beberapa komen, ulasan dan ucapan yang tidak molek untuk didengar. Menjadi seorang pemimpin bukan mudah. Apabila kita diberi amanah dan tanggungjawab oleh rakyat, seharusnya kita perlu peka dengan keadaan sekeliling. Lebih lagi apabila ketika berucap dikhalayak umum, setiap ayat harus diperhalusi sebelum dilontarkan. Mereka adalah wakil pucuk pimpinan parti, hal seperti ini harus diberi keutamaan oleh kerana ia menjadi cerminan kepada seluruh pucuk pimpinan.

3. Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian. Paling penting cara pendekatan yang sesuai perlu digunakan bagi menjadikan ia satu contoh yang baik. Janganlah kerana tidak sependapat akhirnya kita melatah dengan apa sahaja ucapan atau ulasan yang tidak baik. Perlu diingatkan Parti Keadilan Rakyat kini merupakan parti pemerintah. Kita harus ubah sikap dan maju kehadapan. Dahulu kita pembangkang. Bengis pembangkang kita digeruni. Namun kini kita menjadi sebuah kerajaan. Tiba waktu untuk kita pastikan seluruh pimpinan kerajaan bergerak kehadapan dan melaksanakan dasar kerajaan dengan baik dan efisyen.

4. Dalam sebuah kapal, ada seorang nakhoda dan anak-anak kapal. Sudah tentu nakhoda akan memastikan anak kapalnya mampu bekerja dengan baik bagi memastikan kapal itu mampu berlayar jauh. Sekiranya anak kapal bertelingkah sesama sendiri dan tidak beri kerjasama dengan nakhoda ia pasti merencatkan pelayaran kapal tersebut. Begitulah dalam hal ini, pertelingkahan yang berlaku pasti tidak menguntungkan kita. Malah apabila hal ini dilihat oleh orang luar ia telah membuka pekung kita sendiri.

5. Parti akan ada pertandingan sudah pasti kedua-dua mempunyai penyokong tersendiri. Oleh itu bertandinglah dengan sihat tidak perlu kita memburuk- burukan sesama sendiri. Setiap perbuatan pasti ada balasan, jangan kerana perkara ini rakyat akan menghukum kita pada pilihan raya yang akan datang.

6. Oleh itu sama-sama kita pastikan perjalanan perlaksanaan dasar dan segala janji kepada rakyat dapat dipenuhi bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara. Dari kita mencari jurang perbezaan lebih baik kita mencari titik persamaan. Seharusnya kita juga pastikan jangan ada sesiapa yang berpaling tadah hingga boleh membawa rebah. Kesetiaan dan ketaatan kita kepada ketua tidak boleh berbelah bahagi. Pemimpin datang dan pergi. Kita disini masih berjuangan hingga akhir nanti. Jangan gusar dan bimbang, ketetapan ilahi tidak boleh diubah walau seinci. Akhir kalam, sepakat membawa berkat.

Sekian,

Irwan Fahmi Ideris
Mantan Ketua Wira Perkasa Malaysia (2010-2016)
Ahli PKR

Comments

Popular posts from this blog

Doa Nasiri

KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN PRIBUMI PERKASA MALAYSIA

kesan apabila kerajaan menarik balik kes rayuan isu kalimah ALLAH