Masuk Islam jika mahu mengenal Islam
KENYATAAN MEDIA WIRA PERKASA MALAYSIA
02 Julai 2016 | 27 Ramadhan 1437H
1. Merujuk kenyataan dari potal berita Malaysiakini pada 01 Julai 2016, Wira Perkasa Malaysia hari ini ingin mempersoalkan tentang tindakan yang dilakukan oleh Syed Azmi Alhabshi tentang isu berbuka puasa di sebuah gereja.
2. Persoalannya, apakah motif utama yang mereka mahu tunjukkan? Adakah sekadar mahu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang penyayang masih wujud? Tujuan penganjuran majlis mereka pun tidak ada asas yang kukuh. Apakah rakyat Malaysia yang ada pada pada hari ini sudah tidak mempunyai sifat penyayang? Ini semua perkara yang tidak masuk akal.
3. Saya ingin bertanya kepada dia, apakah dia sedar di Malaysia ini kita mempunyai undang2 dan perlembagaan yang perlu kita patuhi? Adakah dia sedar atau tidak tentang sensitiviti agama dalam masyarakat yang berbilang kaum? Jangan hanya buat perkara semata-mata menurut akal. Ini bukan melibatkan adab dan budaya sahaja tapi melibatkan akidah umat islam. Adakah dia ini ejen yang menyesatkan umat Islam di Malaysia kerana dahulu dia mencetuskan kontroversi dengan kempen cintakan haiwan dengan memegang anjing, sekarang tentang hal buka puasa di gereja.
4. Ini menunjukkan bahawa tujuan majlis yang mereka adakan ini tidak mempunyai mesej yang jelas. Tindakan mereka tidak lansung mencerminkan keindahan Islam yang sebenar. Majlis ini tidak mempromosikan hubungan baik antara Islam dan Kristian. Cara yang sebaiknya mereka perlu menghormati Agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
5. Saya ingin menekankan bahawa dalam perlembagaan negara, Perkara 11 menyatakan tentang kebebasan beragama iaitu tiap-tiap orang berhak menganuti agamanya. Namun ia tertakluk dalam (4) iaitu undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat apa-apa perkembangan iktikad antara orang-orang yang menganuti agama Islam. Seterusnya dalam hal ini dia perlu merujuk Perkara 11(5) iaitu Perkara ini tidaklah membenarkan apa-apa perbuatan yang berlawanan dengan undang-undang am mengenai ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak. Jadi fahamkan betul-betul tentang perkara yang saya sebutkan.
6. Selain dari itu adakah dia menitik beratkan tentang hal-hal lain? Diantaranya adalah tentang isu halal dan imej Agama Islam. Isu halal ini bukan hanya tentang sumber makanan, tapi ia adalah menyeluruh. Bermula dari mendapatkan sumber bahan mentah, cara masakan, siapa tukang masak hingga ke proses pembungkusan makanan. Adakah perkara ini diutamakan oleh mereka? Yang paling penting mereka perlu ambil kira adalah tentang imej Agama Islam. Imej bukan sekadar pandangan umum, tetapi cerminan kepada masyarakat. Apakah dia sengaja mahu memburukkan imej Islam? Umum mengetahui majlis berbuka puasa biasanya dilakukan di masjid dan surau. Kebanyakan masjid dan surau telah menyediakan makanan untuk berbuka puasa dengan percuma. Tindakan mereka menunjukkan seolah-olah masjid dan surau tidak menyediakan tempat berbuka puasa di rumah ibadat.
7. Jika dia benar-benar ingin buat majlis seperti ini bersama masyarakat lain saya mencadangkan dia boleh jemput mereka buka puasa di masjid. Namun mereka perlu patuh dengan peraturan dan tertib ketika berada di dalam kawasan masjid. Disamping itu mereka juga boleh mendekati dan memahami Islam dengan mudah. Jika mereka benar-benar berminat untuk memahami dan mendalami Islam kita menyarankan mereka untuk memeluk agama Islam. Sesungguhya Islam itu mudah. Ia adalah cara kehidupan yang cukup sempurna.
8. Saya amat merasa kesal dengan apa yang terjadi dalam hal ini. Majlis mereka mendapat bantahan pada peringkat awal kerana ada pihak yang membuat laporan polis, namun akhirnya mereka tetap meneruskan majlis ini atas alasan bungkusan makanan telah siap disediakan. Walhal mereka boleh beri kepada golongan miskin dari golongan masyarakat bukan Islam. Jadi apa lagi alasan mereka?
9. Justeru Wira Perkasa Malaysia menggesa pihak Majlis Agama Negeri khususnya Negeri Selangor memantau dan membanteras perkara ini dari terus berlaku. Apabila hal berkaitan dengan Agama Islam pihak berkuasa khususnya Polis DiRaja Malaysia tidak dapat bertindak kerana perkara ini tertakluk dalam enakmen syariah negeri. Saya juga ingin menasihati kepada penyokong mereka yang beragama Islam agar musahabah diri dan jangan mudah mendekati dengan perkara yang mudah mendatangkan fitnah kepada agama dan masyarakat. Hormatilah bulan mulia ini. Lebih baik mereka berjaga ditengah malam dengan melakukan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadhan kerana bulan Ramadhan akan berakhir tidak lama lagi.
Sekian
Irwan Fahmi Ideris
Ketua Wira Perkasa Malaysia
Comments
Post a Comment