KERAJAAN WAJIB MENGENAKAN CUKAI KEPADA PEKERJA ASING YANG BEKERJA DI MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA PERTUBUHAN KEBAJIKAN KOMUNITI PRIHATIN MALAYSIA (PRIHATIN) PPM-002-10-18072020
14 JUN 2021
1. Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (PRIHATIN) menggesa kepada pihak kerajaan Malaysia untuk mengenakan cukai khas keatas semua pekerja asing yang bekerja di dalam negara. Perkara ini perlu diperhalusi dan perlaksanaan cukai ini sepatutnya telah lama dilaksanakan. Saban tahun warga asing yang telah bekerja lama di negara akan pulang ke negara asal mereka dengan membawa jutaan ringgit wang keluar dari negara.
2. Setiap rakyat Malaysia telah menikmati subsidi dari kerajaan melalui barangan asas dan keperluan harian seperti makanan, minyak & gas. Mereka juga menikmati subsidi yang sama dari kerajaan sedangkan mereka tidak membayar apa-apa cukai selain permit & levi semasa mereka ingin masuk kedalam negara ini. Mengapa hal ini terus dibiarkan berlaku begitu saja? Rakyat Malaysia berpendapatan RM3,100 keatas perlu membayar cukai pendapatan bagi memberi keseimbangan ekonomi dalam negara. Mengapa pekerja asing yang bertahun-tahun kerja ini tidak dikenakan cukai? Ini sama sekali tidak adil buat negara kerana mereka menikmati subsidi dari kerajaan sama seperti rakyat Malaysia yang lain.
3. Rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara perlu membayar cukai dari pendapatan mereka sekitar 15 hingga 20% hasil dari pendapatan mereka perolehi. Ini akan dapat memberi keseimbangan ekonomi negara tersebut. Megapa pihak kerajaan tidak boleh melaksanakan perkara yang sama? Saya mencadangkan agar sistem percukaian khas dibuat untuk setiap pekerja asing yang bekerja di Malaysia. Pihak kerajaan boleh membuat kutipan cukai setiap bulan dari potongan gaji mereka melalui pihak majikan. Pihak majikan membayar kepada kerajaan melalui sistem seperti KWSP. Jadi pekerja asing ini tidak dapat mengelak dari membayar cukai kepada pihak kerajaan dan sekiranya terdapat perbuatan untuk mengelak bayaran cukai, pihak majikan perlu bertanggungjawab sepenuhnya keatas pekerja terbabit dan tindakan undang-undang dikenakan keatas majikan.
4. Saya kira sudah sampai masa untuk pihak kerajaan melalui Kementerian Kewangan perlu mengkaji semula perlaksanaan cukai ini terhadap mereka. Semua negara sedang bergelut dengan pandemik Covid19 dan krisis ekonomi dunia sedang melanda. Beberapa negara kini sangat terjejas ekonomi mereka akibat kesan dari wabak Covid19. Malaysia perlu ada sistem cukai tambahan seperti ini bagi memberi sokongan dan peningkatan graf ekonomi. Kerajaan tidak akan selamanya bertahan dengan sistem cukai yang sedia ada dan pada masa yang sama pemberian kemudahan kepada penduduk negara seperti subsidi ini tidak diseimbangkan dengan kadar cukai yang dikutip terutamanya dari pekerja asing.
5. Cukup-cukuplah mereka menikmati kemudahan negara yang diperolehi secara percuma selama ini Kini sudah sampai masa untuk kita bertindak mendapatkan semula kutipan cukai dari mereka agar sistem ekonomi negara dapat diperkukuhkan. Jangan sampai tahap kita sudah tidak mampu beri subsidi kepada rakyat baru nak laksanakan sistem kutipan cukai kepada mereka. Jangan biar sampai nasi menjadi bubur. Ekonomi negara harus dipertingkatkan. Jika kutipan cukai ini ditadbir urus dengan baik pasti akan memberi kesan positif kepada kewangan negara.
Sekian,
Irwan Fahmi Ideris
PRESIDEN
Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (PRIHATIN)
Comments
Post a Comment