PELABURAN UNTUNG ATAU MENGGADAIKAN NEGARA?
13 September 2017 bersamaan 22 Zulhijjah 1438H
1. Merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh Free Malaysia Today bertarikh 13 September 2017 yang bertajuk "Khazanah, KWSP akan tambah pelaburan di AS, Najib beritahu Trump". Menurut kenyataan tersebut Malaysia akan melabur sebanyak AS$3Billion hingga AS$4Billion bersaman RM12 hingga RM16 Billion. Pelaburan ini melibatkan pembelian pesawat bagi syarikat Malaysian Airlines System (MAS).
2. KWSP adalah wang pencen rakyat Malaysia yang menyimpan untuk masa depan mereka. Persoalannya mengapa kerajaan memilih Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam pelaburan yang sangat besar seperti ini? Saya tidak kata pelaburan yang dibuat adalah salah tetapi mengapa KWSP terlibat? Adakah pada ketika ini kita hanya bergantung kepada sumber kewangan KWSP untuk membuat pelaburan?
3. Pelaburan yang besar dibuat oleh kerajaan menggunakan dana KWSP tidak sesuai kerana pertumbuhan kewangan dalam syarikat MAS belum nampak meyakinkan. Adakah ini salah satu langkah kerajaan bagi menjamin pengukuhan kewangan syarikat MAS sendiri? Sedangkan CEO Malaysia Airlines System telah membuat penjadualan perjalanan penerbangan syarikat tersebut disebabkan ingin menjimatkan kos operasi syarikat.
4. Dana KWSP tidak sepatutnya dilihat modal utama pihak kerajaan untuk membuat pelaburan yang besar seperti ini. Adakah sudah tidak ada sumber kewangan lain hingga wang KWSP menjadi keutamaan sebagai modal pelaburan yang sangat besar seperti ini? Jika ya, jelas menunjukkan kegagalan menteri kewangan dalam mengurus tadbir kewangan negara.
5. Wang KWSP adalah simpanan rakyat Malaysia yang mencarum semasa mereka bekerja, dan wang itu akan diperoleh selepas mereka pencen atau apabila mencapai had umur 55 tahun. Jadi mengapa perlu kerajaan mengambil risiko melaburkan wang pencen rakyat Malaysia? Adakah ada jaminan yang pasti pelaburan ini tidak gagal? Sekiranya terkandas ditengah jalan adakah pihak kerajaan dapat menjamin bahawa pelaburan wang tersebut dapat dikembalikan kepada pencarum? Ingatlah, setiap pelaburan pasti ada risiko. Cuma adakah kita dapat mengatasi risiko tersebut.
6. Cukuplah dengan bebanan kenaikan harga minyak, barangan keperluan dan kutipan GST menghantui rakyat Malaysia. Setakat ini langkah yang diambil oleh kerajaan hanya untuk memastikan survival ekonomi negara terus berjalan. Pelabur dan pelaburan dalam negara tumbuh seperti cendawan. Jika kita mendapat manfaat sebenar pasti kita tidak bergantung kepada survival kehidupan ketika ini. Jangan gadaikan sehelai daun emas semata ingin hidup tanpa usaha bersungguh.
IRWAN FAHMI IDERIS
hentikanlah tayang bodoh tu bro!!!
ReplyDelete